IPOH, 26 Ogos – Kerajaan negeri Perak dicadang agar menjadikan daerah Hulu Perak sebagai hub pengeluaran ternakan ruminan dalam bentuk primier atau pembekal ternakan hidup.

Salbiah Mohamed (BN – Temengor) berkata, halatuju itu adalah bersandarkan kepada jumlah tanah simpanan untuk padang ragut yang banyak di daerah itu, termasuk dalam kawasan Temengor, yang mempunyai 13 padang ragut.

Menurut beliau, buat masa ini, sekuriti makanan di dalam segmen penternakan daging masih lagi bergantung kepada import.

“Gejala COVID-19 mengajar kita tentang peri pentingnya berkenaan sekuriti makanan di mana industri import dan eksport mengalami masalah dan menjadi salah satu faktor kenaikan harga dan kekurangan barangan makanan,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sejak dahulu sudah mempunyai perancangan rapi mengenai perkara itu di mana program padang ragut dilancarkan.

Namun, katanya, ia menjadi masalah apabila kebanyakan padang ragut tidak diusahakan secara optimum akibat dari perlaksanaan yang tidak menepati keadaan semasa.

“Malah ada yang membangunkan padang ragut tetapi lebih kepada pusat transit lembu import dan bukannya kearah penghasilan lembu daging bersaiz besar, penghasilan baka anak lembu dan produk tenusu,” ujarnya.

Salbiah memberitahu, di Gerik sahaja, ada kira-kira 496.75 hektar terbahagi kepada 13 plot yang tidak diupayakan oleh kerana beberapa masalah seperti kos pembangunan infra asas pemula bagi pembangunan padang ragut ini untuk diusahakan oleh ahli-ahli.

Katanya, penternakan di padang ragut seharusnya memfokuskan kepada beberapa tumpuan, antaranya, penghasilan lembu pedaging bersaiz besar yang boleh mencapai berat lebih 300 kg hingga 600 kg seperti baka dari jenis Brahman, Charolais, Angus dan KK Cross yang dibela secara sistematik dan optimum beratnya.

Di samping itu, katanya, fokus juga haru diberi kepada penghasilan baka anak lembu agar kuantiti lembu dapat dicapai secara optimum mengikut permintaan dan tidak terlalu bergantung kepada daging import, malah Perak juga boleh pembekal anak-anak lembu ke negeri lain.

“Fokus juga boleh diberikan kepada penternakan lembu tenusu dan produk hiliran berkaitan tenusu,” ujarnya.

Beliau mencadangkan mekanisma pelaksanaan padang ragut dikaji semula supaya penggunaan tanah-tanah ini dapat dioptimumkan dan seterusnya menjadi penyelesaian bagi sekuriti makanan di negeri Perak.

Beliau turut mencadangkan program venture pemain industri penternakan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi melaksanakan perniagaan penternakan di sebahagian plot padang ragut dan sebahagiannya boleh diberi kepada penternak kecil tempatan untuk diusahakan.

Salbiah berkata, selain pembangunan infra yang lebih teratur dan sistematik dilaksanakan oleh ventures terbabit, penternak kecil tempatan juga dapat mendapat kelebihan dari segi technologi and pemindahan pengetahuan.

disamping itu, mereka juga akan dapat peluang dari segi market yang lebih meluas melalui rangkaian syarikat ventures ini. ini kerana supply and demand chain diperlukan agar mereka tidak merasa risau dan kurang keyakinan menyertai peluang perniagaan di dalam bidang ternakan ini.