SEBERANG PERAI – Seorang ibu muda yang baru lepas berpantang tergamak membawa bersama bayi lelakinya yang berusia dua bulan ke sebuah rumah kosong di Bukit Mertajam di sini semata-mata untuk menghisap dadah.

Bagaimanapun, kegiatan wa­nita berusia 20-an itu bersama rakan-rakannya berjaya dihidu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Tengah yang melakukan serbuan kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin.

Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita yang berada di dalam rumah kosong itu dipercayai untuk melepas gian menagih dadah.

Katanya, kesemua suspek dianggarkan berusia awal 20-an.

“Hasil pemeriksaan turut menemui seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang dibawa bersama oleh ibunya ke rumah berkenaan semata-mata untuk menagih dadah.

“AADK menahan kesemua empat individu itu bagi membantu siasatan dan ujian saringan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu.

“Bayi lelaki itu pula telah di­serahkan kepada keluarga wani­ta berkenaan,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Menurut Elmariah, pihaknya melakukan serbuan itu susulan maklumat awam bersama risikan pihaknya selama seminggu.

“Rumah itu dikatakan dijadikan ‘port’ penagihan dadah sejak Jun lalu dan atas sebab itu serbuan ini dilakukan. Keempat-empat suspek turut me­ngaku terlibat dalam penagihan
dadah.

“Mereka kemudian dihantar ke lokap AADK untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Dalam perkembangan bera­singan, Elmariah berkata, seorang budak lelaki berusia 12 tahun turut ditahan di sebuah rumah yang dijadikan port penagihan dadah di Bukit Mertajam kelmarin.

Budak berkenaan merupakan antara lapan individu berusia 12 hingga 20 tahun yang dicekup dalam Ops Cegah pada pukul 10.30 pagi.

Difahamkan, budak lelaki itu mengikut abangnya ke rumah berkenaan untuk menagih dadah.

Murid sekolah pondok terbabit dikatakan baharu pulang dari asrama susulan penutupan semua sekolah koran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).