IPOH, 11 Mei – Ibu kepada seorang pemandu ambulans yang terkorban sewaktu memberi pertolongan dalam satu kemalangan berhampiran Terowong Menora pada 2 Mei lalu menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar buat dirinya.

M. Kalpana, 46 berkata walaupun berasa berat menerima hakikat namun pemergian anak tunggal itu, mendiang K. Nagantheran, turut dianggap sebagai pemergian seorang wira.

Menurutnya, Nagantheran seorang yang sangat menyenangi dan rapat dengan ibu bapanya selain mempunyai sikap gemar memberikan bantuan kepada keluarga dan orang lain.

“Saya memang tak dapat nak cakap apa sebab dia, saya gembira dia jadi hero untuk semua warga Malaysia. Sebab dia pergi tolong orang tapi, kita tak harap benda ini nak jadi, saya harap dia gembira lah. Sebab dia pergi tolong orang.

“Dia kalau orang susah dia tak sampai hati. Kalau dia tak ada duit pun dia minta dekat saya dia pergi tolong orang. Walaupun dekat pengemis pun dia tak sampai hati (dan hendak membantu),” katanya.

Ujar Kalpana lagi, ketika kejadian, Nagantheran baru selesai menjalankan tugasnya menghantar ubat-ubatan sebelum ‘membuat kejutan’ berjumpa keluarganya dalam satu majlis di Taiping

Katanya ia adalah perjumpaan terakhir sebelum Nagantheran, yang merupakan Pemandu Ambulans sebuah Pusat Jagaan Warga Tua di Klang, melalui lokasi kemalangan maut itu.

“Semasa dalam majlis keluarga di Taiping, dia datang ke majlis itu tanpa memberitahu kami. Dia katakan mahu membuat kejutan kepada saya.

“Semasa dilaporkan kejadian kemalangan, saya hanya menyangka Nagantheran terlibat dalam kemalangan kecil. Semasa di hospital, baru saya mengetahui yang anak saya sudah tiada,” katanya lagi dengan nada serak.

Media melaporkan Nagantheran, 22, maut semasa memberikan pertolongan dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 263.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.

Ketika kejadian mendiang dikatakan sedang membantu mengeluarkan pemandu Perodua Myvi, Maryamah Talib, 52, yang terbabas di longkang di tepi jalan, sebelum dirempuh kenderaan lain dan maut di tempat kejadian manakala Maryamah meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Terdahulu suami kepada Allahyarhamah Maryamah, Sarjan Suhaimi Ismail serta M. Kalpana bersama suami, M.S Kajendran, 57, menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masing-masing bernilai RM1,516 dan RM223 di sini, pada Selasa.

Selain itu kedua-dua waris turut menerima cek pengurusan mayat sebanyak RM2,000 yang disampaikan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid

Hadir sama Pengarah PERKESO Negeri, Anthony Arul Dass serta Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.