TAIPING, 13 OKT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan kepada orang ramai hasil ikan di kawasan perairan Sungai Geting, Tumpat, Kelantan selamat untuk dimakan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, jaminan itu diberikan kerana pencemaran tersebut tidak menjejaskan ikan.

Bagaimanapun, menurut beliau hanya hasil kerangan yang tercemar dipercayai berpunca sisa toksin di kawasan berkenaan.

“Hanya kerang-kerangan sahaja yang dikesan telah tercemar dan boleh mengakibatkan kemudaratan jika dimakan. Ini kerana cara pemakanan kerang-kerangan berbeza dengan ikan.

“Setakat ini, hasil ikan dari sana masih selamat untuk dimakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Kotak Ikan Berinsulasi dan Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Perumahan Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan di Jeti Kampung Menteri, Kuala Sepetang di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai notis larangan memungut dan memakan kerang-kerangan yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri Kelantan.

Pada 11 Oktober, jabatan tersebut mengeluarkan notis larangan kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti memungut, menjual dan makan spesies kerang-kerangan di kawasan perairan Sungai Geting.

Spesies kerang di lokasi tersebut dipercayai dicemari toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum.

Larangan itu berkuat kuasa serta-merta berikutan hasil keputusan analisis daripada makmal Biosekuriti Perikanan yang dijalankan menemui bahan toksin itu. – SINAR HARIAN