JOHOR BAHRU, 18 MAC : Illi Najwa Anuar Hussein Saddique yang sebelum ini tular berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, pada tahun lalu masih beragama Islam.

Hasil siasatan itu dipersembahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut berkenan menerima menghadap Illi Najwa di Pejabat Mados, Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ, Datuk Md. Rofiki Shamsudin.

Dalam pertemuan itu, Yahya mempersembahkan hasil siasatan JAINJ berhubung status perkahwinan dan keagamaan Illi Najwa bersama pasangannya.

Yahya memberitahu, pihaknya telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendapati Illi Najwa masih beragama Islam.

“Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan mereka juga telah diambil.

“Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar daripada Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk mengadap baginda,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Tambah Yahya, pendaftaran perkahwinan pasangan itu yang dibuat di bandar raya ini juga sedang diproses.

“Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai,” ujarnya.

Disember tahun lalu, Sultan Ibrahim menitahkan agar JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan yang dilaporkan berkahwin dengan Kapten Hoki India.

Baginda bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Johor, baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

Isu berkenaan mula tular dalam media sosial apabila tersebarnya satu video yang memaparkan Illi Najwa berpakaian pengantin Punjabi manakala suaminya, Manpreet turut mengenakan sut Punjabi ketika pasangan itu bertukar ikrar perkahwinan. – UTUSAN ONLINE