PETALING JAYA, 3 MAC – Meskipun bergelumang dengan sampah hampir setiap hari, namun tanggungjawabnya sebagai seorang imam di sebuah madrasah di Sabah tidak pernah diabaikan.

Begitu mulianya hati seorang lelaki yang dikenali sebagai Nasir Asmad dalam mencari rezeki untuk menyara keluarga dan pada masa sama mengejar saham akhirat.

Kisah imam tersebut tular di media sosial selepas dikongsi oleh seorang pengguna laman Facebook yang dikenali sebagai Mohamad Ayub semalam.

Jelasnya, Nasir merupakan imam di Madrasah Teratak Ar-Rahman 2, Kampung Sampah, Sandakan dan pada masa sama dia bekerja mencari sampah.

“Alhamdulillah setiap waktu beliaulah menjadi imam di madrasah. Walaupun beliau adalah imam, kerja hakikinya adalah mencari sampah bagi menyara kehidupan seharian keluarganya.

“Tanggungjawabnya terhadap madrasah tidak pernah pudar walaupun kehidupannya bergelombang dengan sampah yang kotor. Setiap waktu solat, mesti dia ada di madrasah untuk menjadi imam,” katanya.

Menurut hantaran itu lagi, dia meminta orang ramai mendoakan suatu hari nanti imam itu mendapat kerja yang lebih baik untuk menyara keluarga bagi meneruskan kehidupannya sekeluarga.

Sementara itu, rata-rata netizen memuji sikap imam tersebut yang sanggup bergelumang dengan sampah demi mencari rezeki yang halal buat keluarganya.

Pada masa sama, netizen turut mendoakan agar imam tersebut sentiasa dimurahkan rezeki dan dikurniakan pekerjaan yang lebih baik selepas ini.- K! ONLINE.