IPOH – Program Eco-Schools yang akan berlangsung dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini bukan hanya memberi manfaat kepada guru dan pelajar semata-mata.

Sebaliknya program berkenaan turut melibatkan masyarakat setempat untuk bersama-sama mempromosikan kesedaran alam sekitar dengan menjadikan sekolah sebagai pusat pemangkin pembangunan mampan dalam komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) Anuar Zainal Abidin berkata, Eco-Schools berfungsi sebagai penanda aras buat sekolah dalam usaha mendedahkan pelajar dengan pengetahuan berkaitan kelestarian alam sekitar yang diperlukan untuk masa hadapan.

“Melalui penganjuran program pendidikan alam sekitar, banyak perkara yang boleh dilaksanakan dalam mempergiat usaha pendidikan pelajar serta komuniti tentang gaya hidup secara harmoni dengan alam sekitar,” katanya kepada Suara Perak, baru-baru ini.

Menurut beliau, melalui Eco-Schools, pelajar yang terlibat mampu menjadi golongan belia yang positif selain cakna dengan isu alam sekitar.

Tambahnya mereka juga akan berupaya mengasah kemahiran teknikal untuk mengenal pasti punca berkaitan isu-isu alam sekitar serta mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

Katanya, bagi guru pula, Eco-Schools mampu membina persekitaran yang positif dan progresif di sekolah selain mereka dapat merancang kaedah pembelajaran unik serta bermanfaat kepada murid melalui penglibatan dan produktiviti.

“Selain itu Eco-Schools juga dapat memberi impak positif kepada kerajaan negeri iaitu dengan melahirkan ‘duta hijau’ yang akan berkongsi mesej alam sekitar selain menyemai rasa masyarakat yang bertanggungjawab untuk hidup secara mampan,” katanya.

Justeru ujarnya MB Inc. berharap pelaksanaan Eco-Schools akan melakar pelbagai kejayaan dan seterusnya objektif melestarikan keindahan alam sekitar terlaksana.

“MB Inc. mahu usaha melaksanakan program ini akan menjadi pemangkin kepada kesedaran mencintai alam sekitar sedari kecil lagi khususnya dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

“Penerapan dan pemupukan dari awal ini akan melahirkan lebih ramai individu yang mesra dan cinta kepada alam sekitar,” kata beliau.