IPOH, 8 Feb: Walaupun industri pengkuarian batu kapur menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar, namun kerajaan negeri tegas dalam memastikan apa jua aktiviti kuari perlu beroperasi mengikut undang-undang.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata industri pengkuarian di negeri ini mengikut undang-undang iaitu Akta Pembangunan Mineral 1994,Enakmen Mineral (Perak) 2013 (EMP), Peraturan-Peraturan Mineral (Perak) 2008, Pekeliling Khas Pejabat Tanah dan Galian Bil. 3/2017 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Ujarnya industri pengkuarian ini telah bermula sekitar tahun 1970 dan kebanyakan kuari dimiliki oleh syarat persendirian secara pajakan dan telah beroperasi kira-kira 50 tahun.

“Aktiviti kuari di Gunung Terundum, Gunung Rapat dan Gunung Lanno telah diwartakan sebagai Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/ Batuan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Batu Gajah 2025.

“Sebahagian besar gua yang terletak di ketiga-tiga gunung tersebut berada di atas hak milik pengusaha kuari.

“Ketiga-tiga gunung itu tidak disenaraikan sebagai Geopark Lembah Kinta. Geopark Lembah Kinta mempunyai 18 geotapak dimana kesemuanya tidak terletak di dalam kawasan aktiviti pengkuarian di Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/Batuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, industri ini sentiasa dipantau oleh agensi yang bertanggungjawab seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), PDRM dan Majlis Daerah Batu Gajah.

Jelasnya, industri pengkuarian dikawal melalui lesen melombong tuan punya yang tertakluk kepada ulasan dan syarat-syarat jabatan teknikal berkaitan seperti Jabatan Geosains dan Mineral (JMG), Jabatan Alam Sekitar (EIA), dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, sekiranya pemilik kuari gagal mematuhi mana-mana syarat tenemen mineral, pemilik kuari tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sepertimana di bawah seksyen 159 EMP.

“Kerajaan Negeri Perak menitikberatkan aspek pemulihan kuari di mana pihak kerajaan telah menggubal Dasar Mineral Negeri Perak dengan menumpukan elemen pemulihan sebagai tindakan utama yang perlu diambil oleh setiap pemilik kuari.

“Seksyen 129 Enakmen Mineral Perak memperuntukkan kewajipan ke atas pemilik kuari untuk membayar sejumlah wang sebagai caruman ke dalam Kumpulan Wang Pemulihan Lombong atau Bersama kepada kerajaan negeri bagi tujuan pemulihan kawasan kuari,” katanya.

Katanya antara pemulihan yang telah dilakukan pihak kerajaan negeri adalah seperti penanaman semula pokok di kawasan kuari Simpang Pulai bagi mengelakkan masalah pencemaran pemandangan (eyesore), pencucian jalan raya Simpang Pulai – Cameron Highlands dan pembinaan washing bay berpusat untuk mencuci kenderaan yang membawa keluar bahan batuan dan mineral dari kuari.

Saarani berkata kos penanaman pokok dibiayai secara bersama oleh kerajaan negeri dan pengusaha kuari, manakala kerja pencucian jalan raya dan pembinaan serta penyelenggaraan washing bay berpusat dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha kuari.

Jelasnya bagi industri pengkuarian, pemilik kuari juga diwajibkan untuk mengemukan laporan kualiti alam sekitar (EIA) apabila hendak menjalankan industri kuari.

Kegagalan mana-mana pemilik kuari untuk mematuhi syarat-syarat laporan ini boleh menyebabkan pemilik kuari tersebut dikenakan tindakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sepertimana di bawah seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan negeri digesa campur tangan dalam isu Gunung Lanno yang semakin terancam apabila kawasan berkenaan dijadikan sebagai zon kuari.

Laporan itu turut berkata, Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat kuari di kawasan Simpang Pulai.