PUTRAJAYA 26 Nov : Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur inflasi utama menunjukkan peningkatan 2.9 peratus pada Oktober 2021 kepada 123.7 berbanding 120.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan dua angka kepada 11.3 peratus dalam kumpulan Pengangkutan, selaras dengan kenaikan harga minyak global.

“Harga purata RON97 juga meningkat kepada RM2.84 berbanding RM1.97 pada Oktober 2020. Pada masa yang sama, indeks bagi Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain meningkat 3.2 peratus dengan kenaikan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan Elektrik, gas & bahan api lain (27.6 peratus).

“Tambahan pula, indeks Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.1 peratus) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.9 peratus) juga menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan,” katanya dalam laporan berkaitan Indeks IHP bagi Oktober yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, kumpulan lain, Restoran & Hotel, Minuman Alkohol & Tembakau, Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan dan Kesihatan merekodkan peningkatan marginal antara 0.2 peratus hingga 0.6 peratus.

Komunikasi kekal tidak berubah manakala Pakaian & Kasut dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan masing-masing menurun 0.4 peratus dan 0.2 peratus, manakala Pendidikan juga merekodkan penurunan marginal 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, inflasi pada bulan seterusnya juga akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kenaikan kedua-dua harga minyak dunia dan harga makanan.

“Tambahan pula, pembukaan perjalanan rentas negeri dijangka akan memberi kesan bagi beberapa kumpulan berkaitan pelancongan,” katanya.

Mengenai IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober, beliau menjelaskan, IHP bagi tempoh dikaji meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.7 peratus berbanding September 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (2.5 peratus) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.4 peratus).

“Kedua-dua Pelbagai Barangan & Perkhidmatan dan Restoran & Hotel merekodkan peningkatan marginal 0.3 peratus.

Mohd Uzir berkata, kenaikan itu adalah kesan daripada penamatan diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 September 2021.

Sementara itu, DOSM menjelaskan, indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan itu adalah kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.1 peratus); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.2 peratus); Pengangkutan (1.1 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.6 peratus); Restoran & Hotel (0.6 peratus); Kesihatan (0.2 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.2 peratus).

Indeks teras meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.

IHP tanpa bahan api meningkat 1.5 peratus pada Oktober 2021 kepada 114.3 berbanding 112.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Secara keseluruhan, kesemua negeri telah mencatatkan peningkatan IHP pada Oktober 2021.

Sembilan negeri iaitu iaitu Terengganu (3.9 peratus), Pahang (3.7 peratus), Kelantan (3.6 peratus), Perak (3.4 peratus), Negeri Sembilan (3.2 peratus), Kedah & Perlis (3.2 peratus), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus), Johor (3.1 peratus) dan Melaka (3.1 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.9 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurut DOSM, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), diikuti oleh Terengganu (2.6 peratus), Pahang (2.5 peratus), Kelantan (2.4 peratus), Perak (2.4 peratus), Johor (2.2 peratus), Melaka (2.0 peratus) dan Negeri Sembilan (1.9 peratus).

Sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 1.9 peratus pada Oktober 2021.

-BERITA HARIAN