KUALA LUMPUR, 26 Julai:
 Ahli-ahli Parlimen kembali menghadiri sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang pertama bagi tahun ini, selepas persidangan itu ditangguhkan ekoran penularan pandemik COVID-19 yang kini mencecah lebih 1 juta kes.

Namun, tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat ‘panas’ dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Berikut 10 perkara yang menjadi tumpuan pada sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

1. Kerajaan memutuskan enam Darurat yang dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

2. Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti.

3. Kerajaan akan turut melibatkan tiga wakil pembangkang daripada Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

4. Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan pelan hala tuju berfasa untuk menyokong peralihan keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

5. Rancangan Malaysia ke-12 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti.

6. Kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.

7. Wakil rakyat pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan Ordinan dan Proklamasi Darurat tanpa dibincangkan di Parlimen atau dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Antara yang vokal menyuarakannya termasuk Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

8. Papan nama Perdana Menteri memaparkan nama sebenar beliau iaitu Tan Sri Mahiaddin Mohd Yasin dan bukannya Muhyiddin Mohd Yassin seperti yang digunakan secara umum.

9. Isu petugas kesihatan lantikan kontrak turut mendapat perhatian dalam persidangan Mesyuarat Khas Parlimen. 

10. Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan peranti ujian kendiri (Rapid Antigen test) yang menggunakan air liur bagi saringan COVID-19 kepada semua Ahli Parlimen yang menghadiri Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. -Awani