MIRI: Seorang kru kapal meninggal dunia manakala 124 yang lain berjaya diselamatkan dalam satu insiden kecemasan di kapal platform Dayang Topaz di perairan Miri, pagi Selasa.

Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) menerima aduan kira-kira jam 6.45 pagi tadi daripada kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan daripada kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.

Menurut perkongsian Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Mohd Zubil Mat Som di Twitter, 125 kru telah terjun ke laut manakala 62 lagi masih ada di atas kapal setakat jam 9.47 pagi tadi.
“124 mangsa telah dapat diselamatkan, 62 mangsa selamat di atas Dayang Topaz.

“Dukacita dimaklumkan seorang mangsa ditemui meninggal dunia,” jelas Mohd Zubil menerusi Twitter.

Semua kru yang telah dijumpai diselamatkan oleh aset-aset bantuan dan kapal-kapal yang telah tiba di lokasi kejadian.

Lokasi Dayang Topaz sepertimana dilaporkan laman web www.marinetraffic.com

Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku disebabkan salah satu kabel sauh terputus ekoran cuaca buruk menyebabkan kapal hanyut dan melanggar platform pelantar minyak.

Jelasnya, pihak MRCC kini sedang giat melaksanakan koordinasi lanjut.

Aset-aset bantuan telah digerakkan ke lokasi merangkumi tiga kapal dan bot Maritim Malaysia bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell.