JOHOR BAHRU, 14 APRIL : Seorang pegawai kanan berpangkat Inspektor dan tiga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, dekat sini berlagak seperti ‘pemungut cukai pintu’ apabila membuat jenayah pemerasan dari kilang ke kilang di daerah tersebut. 

Bagaimanapun, kegiatan jenayah mereka terbongkar apabila salah seorang mangsa iaitu pengurus sebuah kilang perabot tampil membuat laporan baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, susulan itu, seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis berusia 26 hingga 46 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes pemerasan terhadap pengurus kilang, Khamis lalu. 

Beliau berkata, siasatan mendapati pengurus kilang berusia 50 tahun itu diugut untuk memberi wang sejumlah RM1,500.

Jelasnya, ia sebagai balasan kepada pegawai kanan dan tiga anggota polis terbabit untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja Bangladesh di kilang perabot itu yang tidak mempunyai permit.

Bagaimanapun, jelasnya, pengurus kilang berkenaan tidak dapat menyediakan jumlah wang yang diminta itu menyebabkan pegawai dan anggota terbabit bersetuju dengan wang sebanyak RM1,000.

“Pengurus kilang itu menyerahkan wang RM1,000 berkenaan kepada pegawai serta tiga anggota polis berkenaan yang kemudiannya beredar dari lokasi kejadian tanpa ambil sebarang tindakan terhadap pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit.  

“Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemas kini oleh pendakwa raya dan kemungkinan akan dituduh di mahkamah pada hujung minggu ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Kesemua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan ditahan reman selama sehari pada 8 hingga 9 April lalu. 

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pegawai kanan dan tiga anggota polis terbabit dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan pemerasan dengan menjadikan kilang-kilang di Batu Pahat, sebagai sasaran mereka.

“Kesemua suspek ini menjalankan aktiviti mereka seperti pemungat cukai pintu yang pergi ke kilang-kilang untuk lakukan pemerasan. Namun kali ini mangsa telah buat laporan polis.

“Banyak maklumat yang sebelum ini tidak sampai kepada pihak kami di IPK. Saya menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kerana saya akan ambil tindakan,” katanya. – UTUSAN