KUALA LUMPUR, 24 SEPT : Susulan beberapa negeri catat peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), pembukaan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dilaksana mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu tarikh peralihan fasa.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, ia melibatkan tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan peralihan fasa yang berbeza bermula 24 September.

Kenyataan itu menyebut, pembukaan institusi pendidikan di bawah KPM bagi Johor akan bermula pada 10 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

Bagi institusi pendidikan di Pahang kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan Fasa 2 PPN.

Namun memandangkan negeri itu beralih ke Fasa 3, maka pengoperasian mengikut ketetapan fasa 3 PPN bermula 11 Oktober.

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM di negeri Sembilan pula kekal 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi Fasa 3 PPN.

Memandangkan Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 PPN, pengoperasian mengikut fasa berkenaan akan bermula pada 18 Oktober 2021.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara beri kelulusan untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

Oleh itu pengoperasian institusi pendidikan di Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid berkenaan.

Manakala murid lain kekal mengikut pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Bagi negeri lain yang tidak terlibat dalam peralihan fasa, jelas KPM pengoperasian adalah berdasarkan fasa sedia ada seperti diumumkan KPM pada 12 September lalu.

Insitutsi Pendidikan bawah KPM ini merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.

Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. – AWANI