BAJET 2019 oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada jam 4 petang, Jumaat.

Ia mencatat sejarah apabila menjadi bajet persekutuan pertama dibentangkan di Parlimen oleh sebuah kerajaan baharu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Guan Eng baru-baru ini berkata, bajet 2019 akan menjadi bajet yang sukar kerana kerajaan perlu mengurangkan hutang negara berjumlah RM1 trilion untuk membawa ekonomi kembali ke landasan yang betul secara fiskal dalam masa tiga tahun.

Berikut adalah perkara utama yang diumumkan beliau untuk Bajet 2019:

– Hutang dan liabiliti sebenar Kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh Kerajaan terdahulu.

– Perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

– Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

– Kerajaan juga mendapati bahawa negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini.

– Sehingga 31 Mei 2018, jumlah tunggakan bayaran balik adalah RM35.4 bilion, di mana tunggakan GST adalah sebanyak RM19.4 bilion sementara tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM16 bilion.

– Kerajaan telah membatalkan projek Multi-Product Pipeline dan Trans-Sabah Pipeline berjumlah RM15 bilion. Selain itu, kerja pembinaan ECRL berjumlah RM81 bilion telah digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula.

– Kerajaan juga telah membatalkan projek MRT3 yang bernilai RM60 bilion sehingga projek MRT2 disiapkan.

– Menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM110 bilion.

– Kerajaan telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek LRT3 daripada RM31.6 bilion kepada hanya RM16.6 bilion.

– Bagi projek MRT2 yang diuruskan oleh MRT Corp pula, Kerajaan telah berjaya menurunkan kos kontrak pembinaan sebanyak RM8.8 bilion daripada RM39.3 bilion kepada RM30.5 bilion, iaitu penjimatan sebanyak 22.4%.

– Projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 bernilai RM5.2 bilion akan ditender semula melalui tender terbuka dan dijangka akan memberi penjimatan kos yang besar.

– Kerajaan akan mengambil segala tindakan untuk mendapat segala dana yang hilang atau dicuri daripada 1MDB.

– 1MDB dan Kerajaan Malaysia tidak akan membayar baki US$4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar dan sebaliknya akan menuntut pemulangan US$1.46 bilion yang telah dibayar.

– Kerajaan telah berjaya memiliki semula kapal layar super-mewah, Equanimity dan akan mula menerima bidaan antarabangsa dalam tempoh satu bulan dari tarikh 5 November 2018.

– Di bawah GST, bagi barangan, hanya 545 item telah dikenakan pada kadar sifar manakala di bawah SST, hampir sepuluh kali ganda item dikecualikan daripada Cukai Jualan.

– Berdasarkan kajian awal Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, 70% atau 291 daripada 417 barang dan perkhidmatan yang telah diperiksa, didapati terdapat penurunan harga pada September 2018.

– Kerajaan akan memperkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari 2019. Sistem kredit akan juga mengelak percukaian berganda dan menurunkan kos perniagaan.

– Perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan.

– Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020

– Kerajaan akan melancarkan Program Khas Pengakuan Sukarela (Special Voluntary Disclosure Program) untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan.

– LHDN akan meneliti dan menyiasat sebarang harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.

– Setelah berjaya melancarkan sistem SST, Kastam akan meningkatkan penguatkuasaan ke atas penyeludupan rokok.

– Kerajaan berharap untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya RM1 bilion daripada usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penipuan, yang sebelum ini tidak dapat dikutip.

– Kerajaan akan mencadangkan pengenaan levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara melalui laluan udara bermula 1 Jun 2019.

– RM20 dikenakan ke atas penumpang ke negara Asean dan kedua, sebanyak RM40 dikenakan ke atas penumpang ke negara lain.

– Kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar.

– Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.

– Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.

– Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.

– Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

-Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI. Melalui skim ini, Kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri.

-Subsidi minyak secara bersasar kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

-Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

-RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

-Barangan yang terlibat adalah tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak dalam paket 1kg, serta beras tempatan 15% hancur pek 10kg, Petrol RON95, diesel dan LPG.

-Subsidi bil elektrik bulanan hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih, kadar subsidi ditingkatkan kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan.

-Bagi menggalakkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia yang berumur 60 ke atas, kerajaan mencadangkan supaya caruman mandatori KWSP bagi majikan dikurangkan daripada 6% kepada 4%.

-Bagi memastikan bekas banduan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, potongan cukai tambahan diberi kepada syarikat yang menggaji pekerja dalam kategori ini.

-Pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang masih menerima pencen kurang daripada satu ribu ringgit

-Kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak.

-Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 2019.

-Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta, akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40.

-Menyediakan perlindungan percuma ke atas 4 penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.

-Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas.

-Meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

-Menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi rawatan penyakit jarang jumpa, rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuhan bantut di kalangan kanak-kanak, menyediakan saringan dan peluasan rawatan haemodialisis serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC) – mstar