IPOH, 17 Okt – Bandar Raya Ipoh kembali meriah pada hujung minggu selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri sejak Isnin lalu.

Tinjauan di sekitar bandar raya di sini mendapati, kesempatan itu dimanfaatkan warga bandar raya, untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga mahupun kenalan.

Suasana yang sebelum ini hambar khususnya ketika penguatkuasaan larangan rentas negeri, kembali meriah dan dikunjungi orang ramai seawal 8.30 pagi.

Malah jumlah kenderaan semakin banyak dan menyebabkan aliran trafik agak perlahan khususnya di kawasan-kawasan tumpuan umum walaupun pada waktu malam.

Suasana sebegini nyata memberi senyuman khususnya buat para peniaga kecil yang berniaga di sekitar Bandar Raya Ipoh.

Bagi peniaga pakaian, Muhammad Zulkarnain Abdul Hamid, 34, Bandar Raya disifatkan ‘kembali bernyawa’ selepas jumlah kehadiran pengunjung mula meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Dengan kehadiran orang yang ramai ini dapat kita katakan yang Ipoh kembali bernyawa dan kami para peniaga pun sama dapat bernafas kembali.

“Sebelum ini walaupun ada pembeli dalam kalangan penduduk tempatan akan tetapi hasil jualan itu kurang. Ini kerana hasil pendapatan secara kasarnya banyak datang daripada pelancong luar,” katanya di sini.

Bagi penduduk tempatan Khairul Affendi Amri, 30, kemeriahan di Bandar Raya Ipoh khususnya pada hujung minggu memberi gambaran baik kepada ekonomi setempat.

Walau bagaimanapun dia berharap agar semua pihak dapat berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengimbas kod MySejahtera dan mengambil suhu, pengunjung juga perlu mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjagaan jarak.

“Rasa lega sedikit selepas kerajaan mula beri kelonggaran seperti kebenaran ‘dine-in’ dan rentas negeri. Namun orang ramai diharap terus berdisiplin dan menjaga SOP,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, berdasarkan data daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak menunjukkan kadar penginapan di Ipoh mencatatkan 50 peratus.

Dalam masa sama, katanya, menerusi Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menunjukkan hotel di bawah MPT mencatatkan 56 peratus penginapan.

Nolee Ashilin berkata, data daripada Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Perak pula menunjukkan penginapan di Ipoh, Tanjung Malim, Tapah, Manjung, Kuala Kangsar dan Taiping mencapai kadar 46 peratus.