SELAIN Kuala Kangsar tahukah anda bahawa Teluk Intan juga dahulunya disebut-sebut sebagai Bandar Diraja, bersesuaian dengan keberadaan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar.


Mengapa dinamakan Istana Raja Muda? Mungkin masih ada penduduk di negeri ini tidak menyedari bangunan agam di situ dahulunya merupakan istana yang menjadi kediaman beberapa orang Raja Muda Perak.


Kesedaran itu timbul setelah terdapat bantahan daripada ramai pihak khususnya pencinta sejarah berhubung pelaksanaan tender untuk menjual tanah seluas dua hektar yang menempatkan istana lama.

Seperti yang ditebak, kuasa viral berjaya membawa suara orang ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan itu, sekali gus membuka mata lebih ramai pihak tentang kewujudan institusi Diraja di Teluk Intan.

Bukan Sekadar Selamatkan Seni Bina


Justeru, Suara Perak mendapatkan maklum balas dan pendapat individu yang lebih arif tentang perincian kepentingan memulihara bangunan warisan khususnya istana tersebut.
Dr Mohd Jaki Mamat merupakan Pensyarah Pusat Pengajian, Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM).


Beliau juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam projek konservasi Istana Kenangan atau dikenali dengan Muzium Diraja Kuala Kangsar sebelum ini.


Sambil menyifatkan struktur dan keadaan bangunan Istana Raja Muda masih cantik dan kerosakannya boleh dibaiki, beliau juga menasihatkan ia perlu dilakukan dengan segera.


“Semuanya berkaitan dengan nilai, bangunan istana ini ada nilai tersendiri. Kalau kita selamatkan (istana) bermakna bukan sahaja kita selamatkan seni binanya.


“Tetapi lebih daripada itu termasuk selamatkan nilai warisan, nilai budaya dan istana itu sendiri,” katanya kepada Suara Perak.


Menyentuh lebih lanjut berhubung keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan pelaksanaan tender, Mohd Jaki yang juga Konsevator Berdaftar berkata semuanya terpulang kepada pemilikan yang akhirnya menentukan nasib bangunan tersebut.


“Baguslah jika kerajaan negeri buat keputusan itu (tangguh) tetapi pemilikan yang lebih penting kerana kalau dijual kepada orang yang tidak mahu kekalkan atau robohkan memang hilang terus khazanah,” katanya.

Masih Baru Tapi Proaktif

Memetik kata-kata Mohd Jaki ketika bersiaran secara langsung di Facebook Lembaga Muzium Negeri Perak baru-baru ini, Malaysia masih baru dalam projek konservasi berbanding negara lain namun bergerak aktif untuk meneruskan usaha itu.


“Kalau hendak dibandingkan negara Eropah macam Belanda, mereka sudah mulakan Jabatan Warisan pada tahun 1879. Waktu itu kita masih lagi dijajah, ditadbir oleh British.

“Kita hanya ada Akta Warisan pada tahun 2005 tetapi selepas penubuhan Jabatan Warisan Negara dan seterusnya sampai hari ini kita sangat aktif untuk memulihara bangunan warisan.


“Dengan memulihara bangunan warisan sebenarnya kita menyelamatkan warisan dan budaya. Budaya itu kita boleh guna untuk jana ekonomi, tentulah pelancongan salah satunya,” ujarnya lagi.

Sejarah Istana Raja Muda, Teluk Intan

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata dipercayai seramai lima orang Raja Muda Perak pernah bersemayam istana itu.


“Difahamkan pelan istana ini mula dilukis pada tahun 1922 bermaksud tahun depan genap 100 tahun kewujudannya.


“Raja Muda yang pertama duduk di situ ialah Almarhum Raja Muda Abdul Aziz sampailah yang terakhir iaitu Almarhum Raja Muda Ahmad Siffuddin.


“Pada tahun 1988, digantikan oleh Raja Muda Nazrin tetapi baginda telah berpindah ke Istana Tetamu di Ipoh,” ujarnya.

Ujar Nor Hisham lagi, penetapan untuk Raja Muda bertapak dan bersemayam di Teluk Intan (dulu Teluk Anson) bermula sejak pemerintahan British.


“Ketika itu Raja Muda ditetapkan untuk jaga di kawasan selatan, baginda bersemayam di situ dan bina istana dan sebagainya.


“Jika ikut sejarah, Raja Muda sepatutnya ada kawasan pegangannya sendiri. Raja Muda sama seperti Pembesar Perak, bermaksud ada kawasan tadbir.

“Maksudnya dahulu Raja Raja Bergelar ini diletakkan di kawasan masing-masing untuk membantu Sultan,” katanya lagi.

Usah Biar Bangunan Warisan Lenyap

Memahami isu dan keadaan yang berlaku sekarang, beliau menegaskan amat penting bangunan istana yang sarat dengan nilai warisan itu dikekalkan.


Kata Nor Hisham lagi, sebelum ini ada istana yang sudah lama lenyap seperti di Taiping dan situasi itu tidak sepatutnya berulang.


“Bukan semua daerah ada istana, seperti yang kita maklum istana rasmi dan istana kecil ada di Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan Ipoh. Dulu ada istana di Taiping iaitu di Jalan Istana Larut (berdekatan Tesco) tapi sudah lenyap,” katanya.

Contohi Negeri Lain Jaga Warisan

Nor Hisham turut berkongsi pendapat dan luahannya mengenai nasib bukan sahaja Istana Raja Muda, tetapi juga bangunan warisan lain di Perak.


Tegasnya, Perak mempunyai banyak tinggalan warisan yang unik tetapi malangnya tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.


“Berita penjualan istana itu baru-baru ini merupakan berita sedih buat sektor warisan, sejarah dan pelancongan negeri.

“Jika dibandingkan dengan beberapa buah negeri di selatan Malaysia, pihak Tourism Negeri, PBT dan NGO mereka sedang giat membangunkan warisan yang ada sebagai produk baharu pelancongan.


“Contohnya Majlis Daerah Tampin membangunkan Stesen Keretapi Gemas sebagai Muzium Keretapi Gemas manakala Tourism Johor pula membangunkan Jambatan Keretapi Lama dan Jambatan Putus di Segamat,” katanya.


Menurutnya sebahagian idea itu datang daripada contoh usaha-usaha pihak NGO dan usahasama agensi lain dalam melestarikan warisan yang ada di negeri Perak seperti Jambatan Victoria & Jambatan Iskandar di Kuala Kangsar, idea Muzium Keretapi Taiping dan Jambatan Slim River.


“Negeri lain cuba menjadikan usaha dalam melestarikan warisan mereka setanding yang dilaksanakan di Perak.


“Sebaliknya di Perak, usaha itu seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada pihak berkaitan sewajarnya.


“Diharapkan ada sinar untuk melihat istana ini terus kekal dan dijadikan bangunan yang sesuai untuk kegunaannya, tidak semestinya galeri atau muzium, asalkan khazanah ini terjaga,” kata pencinta sejarah itu lagi.