KUALA LUMPUR 15 Nov : Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara pada bulan depan akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.

Rancangan tunjuk perasaan itu pula hadir selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 baru-baru ini yang memberi tawaran sedia ada kepada mereka namun tidak menyebut mengenai lantikan tetap ke dalam kerajaan.

Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan berkenaan, siri mogok berkenaan tetap menuntut supaya kerajaan menawarkan pelantikan tetap beserta perolehan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua doktor kontrak. 

“Berdasarkan tuntutan Hartal Doktor Kontrak 1.0 yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan ditambah dengan sentimen kekecewaan para pegawai kontrak, kami akan meneruskan mogok kedua berskala besar di seluruh negara pada bulan Disember jika isu ini berlarutan dan tidak diselesaikan. 

“Kami menyeru kerajaan mengambil serius isu perjawatan pegawai perubatan kontrak diselesaikan dengan tuntas. Kami akan terus bekerjasama dan berunding dengan pihak berkenaan bagi mencari penyelesaian terbaik demi kebajikan dan keadilan seluruh doktor kontrak,” kata kenyataan itu hari ini. 

Dalam pembentangan Bajet 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan sejumlah RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

Kerajaan juga bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun.

Bagaimanapun, pengumuman itu belum menjawab persoalan dan penantian semua doktor kontrak mengenai pelantikan mereka secara tetap dalam kerajaan melalui sistem yang lebih telus seperti dilaporkan sebelum ini.

Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara sebelum ini terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai lalu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

-UTUSAN MALAYSIA