IPOH, 7 APRIL – Semua pihak diminta memberi ruang kepada pengurusan Perak FC untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi pasukan tersebut termasuk isu tunggakan gaji pemain.

Presiden Persatuan Penyokong Bolasepak (TBG MOBS) Perak FC, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, pihaknya sudahpun bertemu dengan pengurusan Perak FC bagi mendapatkan penjelasan tentang maklumat tular mengenai tunggakan gaji pemain.

Menurutnya, Perak FC kini dalam tempoh menyesuaikan diri selepas tidak lagi boleh bergantung kepada dana-dana daripada kerajaan dan mengharapkan perniagaan yang bakal diusahakan oleh Bos Gaurus Sdn Bhd.

“Apa yang pasti, kita dimaklumkan bahawa isu tunggakan gaji itu dijangka akan diselesaikan dalam masa dua minggu melalui dana yang diperoleh daripada beberapa pihak. Kita harap para pemain dan penyokong bertenang.

“Kalau benar-benar kita sayangkan pasukan Perak, kita jangan tambah tekanan lagi kepada pihak pengurusan dan pasukan dengan memberi kenyataan negatif sehingga pemain kita tertekan. Beri kepada pihak pengurusan menyelesaikannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dalam pengurusan Perak FC seperti mana sebelum pasukan diswastakan kerana ia merupakan syarat ditetapkan Malaysia Football League (MFL).

Beliau berkata, Perak FC selepas ini perlu memikirkan cara yang lebih kreatif untuk menambah dana sedia ada melalui pelbagai kerjasama mahupun tawaran kepada badan-badan mahupun ahli korporat di Perak melalui pembelian saham Bos Gaurus Bhd.

Shamsul Bahrin juga mengharapkan pemain terus bersabar serta bertahan selain terus berjuang bersama pasukan Perak FC yang dicintai.

Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa prestasi pemain Perak FC yang tidak menentu di dalam Liga Super 2021 mempunyai kaitan dengan pembayaran gaji yang belum dilunaskan oleh pengurusan.

Malah beberapa khabar angin mengenai perkara tersebut turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada peminat. – SINAR HARIAN