KUALA LUMPUR: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza dijangka dibebaskan dengan jaminan polis, selewat-lewatnya pukul 5 petang ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.

Beliau memberitahu, Fahmi yang ditahan kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar, direman sehari.

“Kita mohon perintah (reman) untuk empat hari, namun demikian mahkamah hanya meluluskan satu hari sahaja.

“Bagaimanapun kita akan panggil Fahmi untuk memberi keterangan sehingga siasatan selesai sepenuhnya,” katanya di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Huzir memberitahu, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Penahanan itu susulan laporan polis berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong.

Siasatan dijalan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Bahagian D5, JSJ Bukit Aaman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – AWANI