IPOH –   Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye yang akan memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Kesihatan esok berazam menyelesaikan isu kekurangan ubat-ubatan yang dihadapi hospital-hospital kerajaan seluruh negara.

Menurut pakar bedah jantung sebuah hospital swasta di sini isu kekurangan ubat merupakan satu masalah serius yang memerlukan perhatian dan penyelesaian serius daripada kementerian.

 

Beliau berkata isu tersebut merupakan isu utama di dalam senarai aduan yang diterima daripada rakyat dan tidak menolak ia adalah berkait dengan kekurangan peruntukan belanjawan yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu.

 

“Saya menerima maklumbalas daripada rakyat isu tidak cukup bekalan ubat ini dan saya pasti ada kaitan dengan bajet tapi kita perlu lihat kepada peruntukan bajet bagaimana kita boleh selesaikan sebab kita urus dalam satu suasana di mana bajet adalah terhad.

 

“Jadi kita perlu susun semula keutamaan agar kita boleh selesaikan masalah ini. Saya yakin ia boleh dilakukan kerana mereka yang memerlukan rawatan di hospital kerajaan adalah terdiri daripada mereka yang miskin, golongan berpendapatan sederhana serta kakitangan kerajaan,” kata beliau dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PKR di Dewan Orang Ramai Taman Bersatu, di sini hari ini.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kesenian dan Kebudayaan Negeri YB Tan Kar Hing dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridir Negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan disertai kira-kira 500 orang penduduk setempat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Menteri Dr Zulkifli yang telah dikenali sejak lebih 10 tahun lalu.

 

Dalam pada itu, beliau juga akan memberi perhatiannya kepada isu pembinaan Hospital Seri Iskandar yang telah lama tertangguh pembinaanya.

 

“Ada beberapa tempat di mana hospital dijanji dibina tapi tak bermula dan tak siap seperti di Seri Iskandar yang telah dijanjikan sudah10 tahun, pecah tanah berkali-kali akan tetapi bangunan masih tiada,” kata beliau.

 

Beliau juga akan berusaha untuk menyelesaikan masalah hospital baharu di  Kampar yang perlu dibina di tapak yang lebih sesuai dan luas dengan kemudahan yang dipertingkatkan.

“Tapak itu telah dikenalpasti cuma ada sedikit sebanyak kelulusan untuk dilaksanakan jadi saya bila saya masuk kementerian saya akan teliti perkara ini dan lihat apakah masalah yang sebenarnya berkenaan dengan tapak hospital tersebut,” tegas beliau.

 

Pada 28 Jun lalu beliau membuat keputusan untuk menerima lantikan sebagai timbalan menteri di Kementerian Kesihatan setelah menolak tawaran sebagai Timbalan Menteri Kesihatan setelah menerima panggilan dari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 18 Jun lalu.

 

Katanya, beliau juga telah berbincang dengan ahli keluarga yang turut merestui penyertaannya dalam barisan Kabinet.

“Setelah berbincang dengan ahli keluarga saya serta pimpinan parti, khususnya Presiden PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. saya dengan rendah diri menerima lantikan tersebut,” kata beliau.