IPOH, 29 Julai- Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis meminta Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet beliau meletakkan jawatan.

Menurut Naib Ketua AMK Perak, Muhammad Sheith Abdul Haris, desakan itu perlu susulan kegagalan Muhyiddin mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membahaskan Ordinan Darurat di dalam Sidang Khas Parlimen.

Menurutnya, desakan sama turut diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang disifatkan telah mencabuli perlembagaan negara dengan mendahului baginda apabila mengumumkan Ordinan Darurat telah terbatal pada 21 Julai 2021.

“Dalam kenyataan itu juga dengan jelas menyebut nama Datuk Seri Takiyuddin selaku Menteri Undang-undang yang mengelirukan Dewan dan rakyat Malaysia seluruhnya dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Ordinan Darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai 2021 yang lalu.

“Ini adalah amat serius dan boleh membawa kepada krisis perundangan dan krisis Perlembagaan negara.

“AMK Perak berdiri teguh bersama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong dalam memastikan kedaulatan dan Perlembagaan negara terpelihara dan terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Khamis.

Pada Isnin, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin dilaporkan memaklumkan kerajaan juga memutuskan perkara itu berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.