IPOH, 29 Julai- Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu berjiwa besar untuk memohon keampunan Seri Paduka Baginda serta mengambil tanggungjawab ke atas segala kekhilafan yang berlaku.

Demikian ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berhubung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini yang menzahirkan perasaan amat dukacita mengenai pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.

“Barisan Nasional (BN) Negeri Perak menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini yang menzahirkan perasaan amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.

“Adalah amat malang apabila keprihatinan Seri Paduka Baginda dalam soal menangani krisis COVID-19 yang mencengkam kehidupan rakyat bukan sahaja dikesampingkan.

“Malah tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong jelas mencabuli prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tegas Saarani lagi, BN Perak bimbang perkembangan ini bukan sahaja akan memberi implikasi besar terhadap kedaulatan undang-undang, malah dikhuatiri akan menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan yang sepatutnya dielakkan dalam keadaan negara sedang bergelut menghadapi krisis kesihatan susulan pandemik COVID-19.
 
“Dalam hubungan ini, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu berjiwa besar untuk memohon keampunan Seri Paduka Baginda serta mengambil tanggungjawab ke atas segala kekhilafan yang berlaku.
 
“Menyedari episod hitam yang berlaku hari ini berpunca daripada kegoyahan dan ketidakstabilan politik, maka perlu ada kemahuan politik dari semua pihak untuk mengembalikan kredibiliti Dewan Rakyat dalam menentukan keabsahan sokongan dan kedudukan kerajaan yang ada hari ini,” jelasnya lagi.