Ipoh, 11 April : Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kebenaran kepada peniaga untuk membuka tapak bazar Ramadan di dalam kawasan masjid dengan syarat mendapat khidmat nasihat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah masing-masing.

Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa masjid untuk mengadakan perbincangan dengan PBT berkaitan.

“Pada tahun ini, sebenarnya kita menggalakkan pihak masjid menganjurkan bazar di sepanjang bulan puasa ini sebagai satu aktiviti dan sumber ekonomi dalam tempoh pandemik ini.

“Jadi masjid boleh membuat bazar ramadan di kawasan masjid masing-masing, tetapi dengan syarat mematuhi iaitu mendapat khidmat nasihat dan panduan daripada PBT bagi menentukan faktor kebersihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 100 murid, di sini, hari ini.

Yusop turut mengulas pertikaian sesetengah pihak apabila tidak bersetuju dengan cadangan pembukaan bazar Ramadan di masjid yang mungkin boleh menimbulkan isu kebersihan dan gangguan bunyi bising.

Menurutnya, perkara didakwa berkenaan tidak timbul kerana pihak masjid boleh menentukan kawasan dan lot tertentu dengan mendapat khidmat nasihat daripada PBT.

“Saya rasa bazar Ramadan di luar masjid juga mungkin timbul isu kotor dan sampah sarap, jadi perkara (bazar di kawasan masjid) ini pihak masjid boleh menasihati peniaga untuk mengikuti syarat untuk menjaga kebersihan,” katanya.

Katanya, selepas penganjuran bazar Ramadan, masjid juga digalakkan memperluaskan aktiviti ekonomi dengan membuka kedai runcit dan pasar mini bagi meningkatkan sumber ekonomi ketika pandemik.

“Sebenarnya selain mengadakan bazar Ramadan, masjid boleh mempelbagaikan sumber pendapatan selain sedekah setiap minggu untuk membiayai program masjid,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri Perak sedia menimbang cadangan JAIPk untuk membenarkan penganjuran bazar Ramadan di masjid negeri itu bagi mengurangkan kesesakan di bazar Ramadan sedia ada. – Harian Metro