IPOH, 24 SEPT : Lencongan di lokasi kejadian jalan runtuh Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands Kilometer 43.95 dibuka kepada kenderaan ringan yang kurang dari 5 tan, bermula hari ini. 

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataannya hari ini. 

Menurut JKR, pembukaan jalan lencongan epanjang 450m itu tidak melibatkan kenderaan berat. 

Oleh itu katanya, kenderaan berat dinasihati menggunakan laluan alternatif FT59 Jalan Tapah ke Cameron Highlands sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

“Kerja-kerja kawalan dan pembaikan cerun runtuh sedang giat dilaksanakan di tapak demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di masa hadapan. 

“Pengguna jalan raya juga diingatkan sentiasa mematuhi pandu arah lencongan ketika menggunakan jalan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” kata kenyataan itu. 

Sebelum ini, laluan itu ditutup sepenuhnya kepada semua trafik berikutan kejadian jalan runtuh akibat hujan lebat berterusan.

Kejadian berlaku di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Raya Simpang Pulai, melibatkan runtuhan jalan sepanjang kira-kira 30 meter. – UTUSAN