Oleh : AIDA AZIZ
Gambar : AMIRUL SHAUFIQ

PADA waktu siangnya suasana di jambatan besi di Karai berusia 121 tahun ini sibuk dengan kelibat penunggang motosikal yang lalu lalang untuk menyeberang ke kampung bersebelahan.

Namun begitu keadaan itu beransur lengang menjelang malam, yang mana laluan itu disebut-sebut sebagai menakutkan dan sarat dengan misteri setelah matahari terbenam.

Kisah seperti kelibat manusia pada jam 3 pagi hinggalah kepada beberapa tragedi kemalangan sehingga motosikal tercampak ke dalam sungai, itu sudah menjadi bualan mulut ke mulut.

Tapi itu cerita dahulu, setelah beratus tahun Jambatan Victoria bergelap pada malam hari sejak dirasmikan pada 21 Mac 1900, akhirnya ia dilimpahi dengan lampu yang menerangi pekan kecil itu.

Sudah tentu individu paling gembira dengan perubahan tersebut ialah Siti Norlizawati Narawi, yang berperanan selaku Pengasas Pelancongan Victoria Bridge.

“Dahulu, kalau masuk waktu Maghrib saja memang orang di sini tak berani naik (jambatan). Disebabkan kisah-kisah mistik dan keadaan yang gelap gelita.

“Bagi mereka yang naik motosikal memang bergantung kepada cahaya dari kenderaan, memang bahaya sebab laluan di sini sempit dan bawahnya sungai.

“Selama ini banyak yang kami perjuangkan demi khazanah Jambatan Victoria, setelah lampu dipasang rasa berbaloi dan aktiviti malam di sini tidak mati seperti dulu,” katanya.

Tarikan Pelancongan Baharu di Kuala Kangsar

Ujar Siti Norlizawati, pemasangan lampu itu dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) pada 5 Februari lalu.

Tambahnya, industri pelancongan di Kuala Kangsar menerima tempias paling besar semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Katanya, dengan wujudnya tarikan baharu ini, ia berupaya merancakkan semula aktiviti pelancongan khususnya setelah sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Keadaan memang berubah, banyak industri di sini lumpuh termasuk inap desa, labu sayong dan kawasan tumpuan pelancong sunyi sepi disebabkan PKP.

“Jambatan Victoria bukan sekadar jambatan biasa, ia lebih daripada itu. Ada sejarah pahit manis yang terpahat di sini.

“Bahkan batu bata yang digunakan pun memang asal dari Victoria, London, sangat kukuh dan tak mudah pecah walaupun sudah beratus tahun.

“Alhamdulillah, selain lampu pihak MPKK turut menambahbaik infrastruktur seperti laluan bersimen, papan tanda yang memberikan wajah baharu tanpa mengubah struktur asal.

“Bila sudah ada lampu, diharapkan kuranglah kes-kes kecurian besi landasan di sini, sebagaimana yang berlaku sebelumnya,” katanya.

Dia turut berkongsi harapan dan perancangan untuk menganjurkan pakej-pakej menarik yang melibatkan laluan di sepanjang Jambatan Victoria.

Ujarnya, terdapat beberapa cadangan lain seperti menambah info lanjut berkenaan sejarah jambatan tersebut untuk pengunjung.

“Sejarah dan pemberitahuan tentang Jambatan Victoria tidak lengkap, kadang-kadang orang sampai telefon saya untuk tahu lebih lanjut.

“Ada satu lorong yang boleh dikhususkan untuk tujuan itu, mungkin boleh letak gambar-gambar lama tentang sejarah jambatan, barulah menarik,” katanya.