IPOH, 25 JAN – Wanita UMNO Perak mahu sebarang perbezaan pandangan di dalam parti itu perlu diatasi secara bermusyawarah, umpama air yang berkocak di dalam cawan tanpa melimpah keluar.

Ketuanya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Ini UMNO perlu memberi fokus untuk membantu rakyat serta memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, ketika negara dilanda penularan pandemik COVID-19 serta bencana banjir, sudah pasti kebajikan rakyat perlu diutamakan.

Sehubungan itu, katanya, sebarang usaha mendesak Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan akan hanya membawa kepada keadaan yang lebih rumit dan lebih malang jika ada pihak lain yang menangguk di air keruh.

“Marilah kita sama-sama membantu Presiden menggalas tanggungjawab mencabar dalam memimpin parti dalam keadaan sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyeru ahli-ahli parti, khasnya Wanita UMNO Perak untuk terus memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada Presiden parti.

Menurutnya, tindakan beberapa pihak Ahmad Zahid meletakkan jawatan adalah tidak wajar sama sekali ketika parti belum benar-benar stabil selepas kalah pada PRU-14.

Malaham, kata beliau, waktu inilah ahli-ahli parti di setiap lapisan harus memperkukuhkan penyatuan bukannya membuat tindakan yang boleh melemahkan parti.

“Presiden parti mendapat mandat dari majoriti ahli UMNO melalui pemilihan yang mengikut peraturan, maka sebarang ketidakpuasanhati terhadap kepimpinan presiden sebaiknya perlu melalui pemilihan parti juga,” ujarnya.