LENGGONG, 21 Feb: Rakyat Perak dinasihatkan supaya tidak takut mengambil vaksin demi kebaikan untuk menghalang pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata perkara ini penting dalam memastikan orang ramai tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang enggan menerima vaksin.

“Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak,kita terima vaksin ini dengan hati yang terbuka.

“Jangan ada orang yang takut atau mudah dihasut dengan pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada vaksin ini, vaksin ini penting,” katanya.

“Vaksin ini penting, kerana dulu semasa kita kecil-kecil kita di sekolah pun kita ada terima vaksin. Masa tu ada juga yang lari, tapi apa kesannya, kita selamat daripada pelbagai penyakit.

“Itu contoh kebaikan sebagai antibodi kita,” katanya dalam sidang media selepas menympaikan sijil penghargaan kepada tenaga pengajar Program Pecutan akhir – Kelas SPM 2020 DUN Kota Tampan dan DUN Lintang, Sungai Siput di Resort Tasik Raban di sini pada Ahad.

Saarani yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi dengan Stadium Indera Mulia di Ipoh akan menjadi pusat simpanan vaksin di negeri ini.

Beliau berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga dijangka akan meninjau persiapan tempat itu pada Selasa ini sekaligus memberikan keyakinan kepada rakyat Perak dengan beberapa prosedur yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Vaksin sudah pun tiba di Malaysia pagi ini. Perdana Menteri akan menjadi orang pertama di Malaysia untuk terima vaksin pada 26 Februari dan diikuti petugas barisan hadapan dan rakyat malaysia seluruhnya akan dapat,” katanya.

Ujarnya Perak turut membuat persiapan rapi sepertimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).