KUALA KANGSAR: Para pelajar di negeri ini dinasihatkan supaya jangan takut untuk bertutur dalam bahasa Inggeris kerana ia merupakan salah satu keperluan di alam pekerjaan.

Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, persaingan dalam dunia pekerjaan kini mendesak graduan untuk yakin serta fasih berbahasa Inggeris demi memenuhi keperluan pasaran.

Beliau berpendapat, cabaran yang dihadapi oleh para pelajar kini ialah kurang keyakinan diri untuk berbahasa Inggeris.

“Ramai di antara anak-anak muda mungkin rasa malu atau kurang yakin untuk bercakap dalam bahasa Inggeris, mereka faham dan boleh menulis tetapi apabila diminta bercakap di khalayak, rasa malu itu menebal,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program Anak Angkat BAIDURI English Camp #striveforexcellence dan Majlis Restu Bonda di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Desa Rimba, di sini pada Ahad.

Hadir sama ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor.

Program anak angkat yang berlangsung setiap tahun itu menghimpunkan 133 orang pelajar dari 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Perak.
baiduri-plkn

Program itu khusus untuk memberikan semangat dan motivasi kepada para pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain didedahkan dengan aktiviti sukan dan rekreasi bagi membentuk jati diri.

Bagi sesi kali ini, BAIDURI menampilkan kelainan dengan menyediakan slot kem bahasa Inggeris bersama 16 orang fasilitator dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut salah seorang anak angkat BAIDURI dari DUN Sungai Manik, Noor Aisyah Mohamad Daud, 17, kem tersebut membantu dirinya dalam mempersiapkan diri menghadapi SPM tidak lama lagi.

“Fasilitator bagi keyakinan kepada kami untuk bercakap dalam bahasa Inggeris selain mengasah tatabahasa. Cara pembelajaran juga menyeronokkan kerana diselitkan dengan permainan kata,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Farhana Mazlan, 21, yang merupakan salah seorang fasilitator USM berkata, dorongan wajar diberikan kepada para pelajar untuk berani berbahasa Inggeris.

“Sememangnya mereka tidak akan fasih dalam masa sehari dua, tetapi yang penting kemahiran berbahasa itu boleh diperbaiki dengan membaca surat khabar, novel mahu pun dalam permainan di telefon bimbit masing-masing kerana hampir semuanya tertulis dalam bahasa Inggeris,” katanya.