PUTRAJAYA, 5 MEI : Sebanyak RM3.5 bilion bakal diperuntukkan melalui program Jaringan Prihatin bagi membolehkan Kumpulan B40 memiliki telefon pintar atau bantuan pelan jalur lebar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Daripada keseluruhan dana berkenaan, jelas Perdana Menteri, RM2 bilion bakal disediakan kerajaan, manakala RM1.5 bilion disumbang oleh syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan.

Menurut Muhyiddin, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan oleh arus teknologi lebih-lebih lagi sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19.

“Selain daripada jurang rangkaian internet, masih terdapat jurang kemampuan kewangan untuk memperolehi capaian internet.

“Meskipun kos pelan “broadband” terendah di Malaysia adalah 1.1 peratus dari pendapatan negara kasar per kapita bulanan sejajar dengan garis panduan PBB… namun ia masih tinggi bagi sebahagian kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah.

“Kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah yang berpendapatan rendah,” katanya sewaktu berucap melancarkan program Jaringan Prihatin di sini, pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, program itu bakal memberi manfaat kepada sekitar 8.5 juta rakyat yang terdiri daripada golongan B40.

Jaringan Prihatin bertujuan membina bakat dan kemahiran digital seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Di bawah program berkenaan, penerima yang layak boleh menerima bantuan untuk pakej peranti sehingga RM300 atau pelan data bulanan sehingga RM180 untuk 12 bulan.

Berucap lanjut, Muhyiddin berkata, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran.

“Pembangunan Kapasiti di bawah pelbagai program sektor awam dan swasta perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat.

“Dalam usaha kita untuk menangani krisis pandemik serta sekali gus untuk meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif; mahu tidak mahu, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program Jaringan Prihatin merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara bertujuan meringankan beban 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, Jaringan Prihatin merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk terus memperjuangkan agenda keterangkuman dan memastikan negara berada di landasan pertumbuhan yang mampan.

“Pandemik (COVID-19) ini juga telah memberi tumpuan terhadap isu dan masalah yang sudah lama dihadapi – iaitu masih ramai rakyat tidak mempunyai akses internet yang menyeluruh, sama ada dari segi ketersediaan mahupun kemampuan, terutamanya di kalangan golongan rentan dan B40.”

“Kerajaan akur bahawa terdapat penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi menangani masalah jurang digital ini.

“Oleh itu, program Jaringan Prihatin merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara bertujuan untuk meringankan beban 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui bantuan sejumlah RM1.5 bilion bagi melanggan pelan data bulanan atau mengurangkan kos untuk pembelian peranti mudah alih,” kata beliau lagi. – AWANI