TANJUNG TUALANG, 6 Mei —Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak menyerbu sebuah kilang peleburan logam haram di sini, selepas menerima aduan orang ramai mengenai operasi kilang itu sejak pertengahan April.

Kedudukan kilang tersebut terletak di ladang kelapa sawit sejauh empat kilometer dari jalan utama dan kawasan perumahan.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata terdapat dua ruang pembakaran peleburan logam di premis tersebut namun siasatan mendapati hanya sisa-sisa pembakaran yang tinggal.

“Kita dapati premis telah ditinggalkan kosong oleh pekerja-pekerja dan pemiliknya berdasarkan pemeriksaan, kita dapati ada dua ruang pembakaran untuk proses peleburan logam.

“Kedua-duanya kosong dan terdapat pondok atau rumah kongsi untuk pekerja tinggal dan masih banyak peralatan ada,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu pada Khamis.

Sementara itu, operasi bersepadu tersebut turut disertai Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri, Balai Polis Tanjung Tualang, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Batu Gajah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

Tambahnya, maklumat awal dari Pejabat Tanah dan Daerah telah mengenal pasti pemilik tanah, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti pemilik fasiliti untuk diambil tindakan.

“Berdasarkan operasi dijalankan, kemudahan-kemudahan yang ditinggalkan menunjukkan kilang beroperasi menjalankan proses peleburan tetapi bahan mentah telah dikosongkan.

“Kita dapati tiada alat kawalan pencemaran dibangunkan dan teknologi pembangunan pemprosesan yang dijalankan bukan teknologi terkini dan merupakan teknologi konvensional dan tidak lagi sesuai digunakan sekarang,” ujarnya.

JAS Perak turut mengambil sampel sisa bahan yang telah diproses untuk dihantar ke jabatan kimia bagi mengenalpasti sama ada bahan tersebut dalam kategori barang buangan berjadual.

“Sekiranya buangan itu dikategorikan sebagai buangan berjadual, maka kita akan arahkan pemilik tanah untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tinggalan berdasarkan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS),” katanya.

Orang awam digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh merosakkan alam sekitar kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-Aduan JAS.