KUALA LUMPUR: Pemergian Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria merupakan kehilangan besar kepada agama Islam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut Zulkifli, jasa dan sumbangan besar ulama berusia 82 tahun itu terlalu besar dan seharusnya dikenang.

Kata beliau, berdekad lamanya Harussani begitu istiqamah dalam perjuangan Islam.

“Saya sebenarnya mengakui peranan dimainkan Almarhum dan tiga dekad bukan satu masa pendek lama‚Ķ telah bersama dalam arena kefatwaan dan umul Islam.

“Buah fikiran beliau jua membentuk beberapa cadangan baik diterima pakai malah dalam situasi fatwa di Malaysia adanya muzakarah, pandangan Allahyarham Tan Sri (Harussani) dan sebahagian mufti begitu tuntas banyak memandu kerajaan dalam membuat sesuatu hukum,” kata Zulkifli dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Ahad.

Harussani yang mula menyandang jawatan sebagai Mufti Perak sejak 1985 menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Allahyarham merupakan seorang ulama yang disegani dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat bersama isterinya, Puan Sri Ainon Abdul Ghani disahkan dijangkiti wabak COVID-19 sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Justeru, pemergian seorang sahabat dan guru kepadanya akibat COVID-19 menyebabkan Zulkili berpendapat, sudah tiba masa untuk semua ulama membantu kerajaan dalam memberi kesedaran betapa bahayanya musuh tidak nyata itu.

“Maklumat sedikit saya dapati memang ramai dalam kalangan ulama dikenakan terkena musibah COVID-19 dan ada yang meninggal dunia termasuk di Jordan dan tempat lain dan hari ini Tan Sri (Harussani).

“Kita nyatakan bahawa masalah tentang penyakit COVID-19 bila mana ia datang menambahkan lagi penyakit lain (dan) memungkinkan sebarang tahap termasuk kematian.

“Justeru, bila kita lihat di hadapan secara realiti, maka sewajarnya para ulama saling beringat-ingat dan pesan kepada seluruh umat,” kata beliau – AWANI