IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Perak berjaya mematahkan penyeludupan 1.4 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1 juta termasuk cukai di Taman Saujana Baki, Teluk Intan, Sabtu lalu.

Serbuan terhadap rumah berkenaan dilakukan pasukan daripada Bahagian Penguatkuasaan JDKM Perak pada jam 6 petang.

Pengarah Kastam Perak, Dr. Mohamad Saprin berkata serbuan dilakukan selepas pasukan membuat pemerhatian selama lebih kurang satu jam di lokasi tersebut sebelum bertindak memasuki rumah tersebut untuk melakukan pemeriksaan.

“Kita telah membuat intipan dalam jangka masa yang lama dan didapati tiada siapa yang datang untuk menuntut barang berkenaan dan kita mengambil keputusan untuk memecah masuk ke dalam rumah untuk mengetahui jika ada rokok di rumah itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah itu mendapati sejumlah rokok disimpan dan tidak ada bukti menunjukkan rokok itu lulus kastam, nilai termasuk cukai rokok ini kira-kira RM 1 juta dan dipercayai untuk edaran di kawasan utara.

“Pihak kami masih mengesan siapa pemilik rumah berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut jika terbukti bahawa pihak berkenaan terlibat dalam memiliki barang belum lulus kastam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Wisma Kastam Ipoh di sini pada Rabu.

Sementara itu dalam kes berasingan pada 30 Oktober lalu, beliau berkata JDKM Perak turut merampas 202 botol minuman keras berkualiti tinggi di sebuah premis perniagaan di Ipoh dengan nilai cukai dan harga kira-kira RM 40,000.

Katanya hasil serbuan pada jam 12.45 tengahari di premis itu mendapati terdapat sejumlah minumana keras import pelbagai jenama yang disyaki barang larangan kastam.

Minuman keras yang dijual 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran itu juga dipercayai untuk jualan sempena perayaan Deepavali dan Krismas tidak lama lagi.

“Dua orang lelaki warganegara tempatan berusia dalam lingkungan 30 dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan siasatan mendapati mereka tidak dapat membuktikan bahawa minuman keras itu diimport secara sah dan cukai kastam telah dibayar,” katanya.

Mohamad berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan ujarnya lagi orang ramai digesa membantu JDKM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah.