GERIK: Jenazah Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi ini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang, kira-kira jam 7 malam semalam kerana serangan jantung.

Jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Ulu Kenderong, Gerik kira-kira 5.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Jamek Gerik kira-kira jam 10.30 pagi untuk solat jenazah.

Solat jenazah diimamkan sendiri oleh anak sulung Allahyarham, Mohd Haris Helmi, 34.

Antara pemimpin yang hadir, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Allahyarham meninggalkan isteri dan lapan anak.

Tajol Rosli ketika ditemui menyifatkan Allahyarham seorang yang kuat bekerja untuk rakyat di Hulu Perak sehingga lupa untuk menjaga kesihatan.

“Saya telah bersama dengan Allahyarham sejak tahun 1986 apabila beliau letak jawatan sebagai guru untuk menjadi Setiausaha Sulit saya.

“Sejak itulah kami satu pejabat hinggalah tahun 2008 apabila kerajaan Barisan Nasional kalah, baru lah kami berpisah pejabat.

“Beliau seorang yang ‘very hard working’ cuma mungkin kerana terlampau jaga orang, beliau kurang jaga diri sendiri, kurang bersenam,” katanya.

Tajol Rosli mengakui beliau sendiri tidak mampu berbuat apa yang pernah Allahyarham lakukan semasa menjadi Ahli Parlimen Gerik.

“Selalu orang kata, bila seseorang pergi meninggalkan kita, kita akan terasa kehilangannya tetapi Allahyarham akan tetap diingati oleh penduduk di Hulu Perak,” ujarnya.

Menurutnya, antara jasa paling besar Allahyarham ialah merperjuangkan jalan baru Lenggong – Pengkalan Hulu yang memberi manfaat penduduk sekitar Hulu Perak.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berkata, antara hajat Allahyarham yang kesampaian ialah menyampaikan bantuan kepada 10,000 penduduk Hulu Perak yang terkesan dengan pandemik COVID-19.