PENDANG, 6 DIS : Jenazah ibu mentua dan bayi lelaki penyerang JDT, Muhammad Syafiq Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang kira-kira jam 8.25 malam tadi.

Kedua-dua jenazah, Zainab Wahab, 46, dan Muhammad Aisy Saqeef yang baru berusia 22 hari, dikebumikan dalam satu liang.

Muhammad Syafiq yang mendukung jenazah bayinya yang sudah dikafankan dari van ke liang dilihat menangis dan memeluk erat bayi itu sambil beberapa kali menciumnya.

Sebelum itu kedua-dua jenazah tiba di kediaman keluarga isteri Muhammad Syafiq, Nur Amalina Norain, 25, di Kampung Padang Pusing di sini pada pukul 5.55 petang.

Jenazah berkenaan kemudian disembahyangkan di rumah keluarga Nur Amalina sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan
Turut hadir bapa mentua, Norain Shahadan, 50, serta anggota keluarga dan pemain pasukan Kedah, selain Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi Ahad, di Kilometer 163.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Sungai Bakap, tiga dilaporkan maut iaitu ibu mentua Muhammad Syafiq, bayinya serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Isterinya, Nur Amalina, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25, dan anak perempuannya Aaira Nur Safiyya, 2, hanya cedera ringan.