IPOH, 24 Okt – Penerbit dan pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid selamat dikebumikan kira-kira jam 2.25 petang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di sini pada Ahad.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini kira-kira 6 pagi tadi dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum dikebumikan.

Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.

Antara orang kenamaan yang menziarahi Allahyarham di kediamannya ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa rakan artis antaranya Datuk Awie, Zul Ariffin, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Nasrizal Ngasri dan Zahiril Adzim.

Sementara itu, kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat menyifatkan adik bongsunya, Allahyarham Mamat Khalid sebagai seorang yang kuat bekerja dan mencintai dunia seni.

“Arwah memang berdarah seni yang mana kalau dia pegang alat muzik, maka jadilah lagu. Dan jika dia bercerita, semua orang akan ketawa kerana dia gemar membuat jenaka.

“Dia sebagai adik yang bongsu apabila bercerita tentang sesuatu perkara dengan kami sekeluarga kami mesti ketawa,” katanya ketika ditemui selepas jenazah Mamat Khalid selamat dikebumikan.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.

Mamat pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem “Pinang Durian”.

Dilahirkan pada 6 April 1963 di Ipoh, Perak, minat Mamat kepada filem berputik sejak kecil lagi.