IPOH, 3 Mac – Walaupun baru dilancarkan kira-kira empat jam secara maya, sejak jam 12 tengahari Rabu, jersi baharu Perak FC menerima tempahan hampir 5,000 helai.

Dalam masa sama, Perak FC memberi jaminan tidak berlaku sebarang kegiatan 'potong barisan atau potong que’ untuk mendapatkan tempahan jersi lebih awal.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, semua tempahan awal menerima layan sama rata dan perlu menunggu giliran masing-masing, termasuk beliau sendiri.

“Mungkin juga ada salah faham daripada peminat yang merasakan saya sudah ada stok 1,000 di dalam tangan saya, sebenarnya tidak.

“Sebenarnya proses ini pun saya ikut seperti mana semua peminat juga, iaitu saya pun membuat tempahan kepada pihak Kaki Jersi (penaja dan pengeluar) untuk mendapatkan stok ini.

“Jadi janganlah risau, saya memang tidak ada mengambil peminat kita, penyokong kita yang lain dengan menggunakan kapasiti perjawatan saya, insya Allah,” katanya ketika ditemui di pejabat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial netizen meluahkan rasa tidak puas hati selepas Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia itu membuat tawaran potongan harga 20 peratus untuk pengundi dan bakal pengundi Parlimen Parit.

Khairul Shahril menjelaskan, langkah beliau membuat tawaran itu adalah untuk membantu memeriahkan lagi penjualan jersi rasmi pasukan The Bos Gaurus dan dalam masa sama menggalakkan anak muda mendaftar sebagai pengundi.

Beliau yakin, ramai lagi wakil rakyat, termasuk dari parti pembangkang akan turut membuat perkara yang sama.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberi maklum balas itu kerana mengingatkan beliau supaya memastikan tidak berlaku kegiatan `potong barisan’ untuk mendapatkan jersi itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kerana sejak jersi itu dilancarkan di laman sesawang Perak FC, ia telah dilawati kira-kira 600,000 pengunjung.

“Dalam satu masa, kira-kira 33,000 orang telah mengunjungi laman sesawang Perak FC serentak sehingga menyebabkan berlaku masalah teknikal yang akhirnya dapat kita atasi,” ujarnya.