TELUK INTAN: Suasana sambutan Deepavali tahun ini suram buat seorang wanita warga emas, P. Vannakavi, 70, di Kampung Bahagia di sini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain tidak boleh keluar daerah untuk mengunjungi saudara-mara dan rakan-rakannya, suami Vannakavi yang bekerja di Singapura juga tidak dapat pulang kerana sempadan negara belum dibuka.

Namun, Vannakavi tidak sedih atau sunyi kerana menjelang Deepavali Sabtu ini, dia boleh beraya dengan jirannya yang pelbagai kaum.

“Saya tinggal bersama anak, cucu dan ipar di sini. Sudah jadi kebiasaan saya dan jiran-jiran saling menghormati.

“Sambutan Deepavali tahun ini tetap meriah walaupun PKPB kerana jiran-jiran saya biasanya turut gembira setiap kali ada perayaan. Perpaduan menjadi asas hubungan baik pelbagai kaum di kampung ini,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, jiran Vannakavi, Zamanhuri Chu, 70, berkata, dia tinggal berdekatan dengan wanita itu sejak 40 tahun lalu.

Dia menganggap Vannakavi sebagai sebahagian keluarganya dan membantunya jika memerlukan pertolongan.

“Walaupun berlainan bangsa dan agama, biasanya kami di sini bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan kaum-kaum lain,” katanya.

Seorang lagi jiran, Loh lee koon, 57, berkata, sambutan perayaan setiap kaum sentiasa ceria di kawasan kejiranannya.

“Jiran-jiran ikut serta memeriahkan sambutan perayaan tanpa mengira raya kaum apa,” katanya. – UTUSAN ONLINE