SUNGAI SIPUT, 21 Julai – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan berbincang terlebih dahulu sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan inisiatif secara ‘walk in’ di negeri-negeri lain, seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan kerajaan dalam menghadapi pandemik Covid-19 sentiasa bersifat dinamik.

Menurutnya, kerajaan juga telah menubuhkan beberapa jawatankuasa untuk menyelesaikan masalah berkaitan pandemik itu.

“Kita bertindak dinamik, pada ketika ini kita kerajaan akan menjalankan `walk in’ pada mereka-mereka yang tidak mendaftar atas kerana tiada telefon bimbit, internet, kad pengenalan ataupun orang asing yang tidak ada dokumen,

“Mereka hanya ‘walk in’ pada bulan 8 ini dan akan diberi suntikan dan di negeri-negeri lain, kalau berlaku, maka kerajaan akan buatlah tindakan nanti, akan dibincangkan di JKJAV untuk kebaikan semua,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat PPV awam di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan mengadakan inisiatif secara ‘walk in’ di negeri-negeri yang mempunyai beberapa zon merah Covid-19.

Pada Isnin, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menjelaskan bahawa inisiatif ‘walk in’ vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Ogos depan adalah untuk golongan yang belum menerima janji temu dan tercicir.

Menurut badan bertindak itu, inisiatif berkenaan diibuka kepada rakyat tempatan dan asing serta golongan tercicir yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti yang dijelaskan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sebelum ini.

Ia bukanlah untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing.