IPOH, 24 Nov – Kerajaan Perak mengambil maklum isu seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang guru telah diasingkan oleh pihak sekolah di sebuah bilik simpanan stor kerana belum menerima vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata susulan itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan.

Katanya perkara sama juga turut dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan selain laporan penuh akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“JPN telah membuat siasatan penuh dan terperinci. Kes terbabit telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan negeri mengambil serius perihal ini yang melibatkan pelbagai aspek kesihatan dan kebajikan para guru.

“Ia bagi memastikan semua pihak berada dlm keadaan sihat dan bebas daripada wabak. Kerajaan negeri ingin memastikan kesemua pihak sama ada guru, pelajar, dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat.

“Laporan penuh akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Semalam sebuah media melaporkan tular di media sosial video yang memaparkan seorang lelaki mendakwa sebagai seorang guru diasingkan oleh pihak sekolah di sebuah bilik simpanan stor tukang cuci kerana belum menerima vaksin COVID-19.

Dalam video yang berdurasi kira-kira tiga minit itu, lelaki itu meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi pihak sekolah terhadapnya.

Selain itu video berkenaan turut menerima pelbagai reaksi warganet antaranya berpandangan bahawa tindakan pihak sekolah itu bagi melindung pelajar dan guru yang sudah divaksin.