KAMPAR, 4 MEI – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mengarahkan pengusaha sebuah ladang ternakan babi di Malim Nawar, di sini untuk menambah baik operasi mereka bagi mengelak pencemaran bau di kawasan sekitar.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan JPV Perak, Dr Azizah Darus berkata, pihaknya meminta pengusaha menambah penggunaan microorganisma efektif (EM) yang bertujuan mengurangkan bau ternakan tersebut.

Menurutnya, selain itu juga saluran udara juga ditambah baik dengan memastikan udara yang keluar masuk semula ke kawasan ladang ternakan tersebut selain penanaman pokok sebagai penampan.

“Ladang ini telah wujud sejak tahun 80-an lagi dan ketika itu enakmen berkaitan status tanah tak wujud lagi. Lesen yang kami wujudkan untuk kawal aktiviti perladangan untuk memastikan ia dilaksana secara terkawal.

“Kalau kami tak bagi lesen, kita bimbang mereka akan beroperasi tanpa mengikut prosedur yang akan memberi kesan lebih teruk. Jadi operasi ladang masih diteruskan dengan arahan penambahbaikan untuk kawal bau,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di ladang ternakan babi berkenaan dan Kampung Bunga Tanjung, di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam lawatan itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Sementara itu, Razman berkata, kerajaan negeri akan melihat dengan teliti permasalahan yang dihadapi dengan penduduk dan mencari penyelesaian terbaik.

Menurutnya, tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap aduan itu tidak benar tetapi perkara itu berada di dalam kawalan JPV.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat semua sudut bukan sahaja masalah dihadapi penduduk tetapi keperluan industri tersebut secara keseluruhan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Pada 1 Mei lalu, Sinar Harian menyiarkan keluhan penduduk di Kampung Changkat Belulang, Kampung Changkat Bendera, Kampung Bunga Tanjung dan Taman Sri Malim di sini mendakwa menderita akibat pencemaran bau daripada operasi penternakan babi berhampiran kediaman mereka. – Sinar Harian