IPOH: Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila keretanya diserang seorang lelaki hingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaannya dalam kejadian di Kampung Pengkalan Baru, Kampung Kepayang di sini Ahad lalu.

Kejadian pada pukul 5.30 petang itu bukan sahaja menyebabkan mangsa trauma malah memberi kesan kepada dua anaknya yang masing-masing berusia sembilan dan dua tahun.

Mangsa yang merupakan jururawat di sebuah hospital swasta di sini mendakwa, kejadian berlaku ketika dia bersama tiga anaknya termasuk seorang bayi perempuan berusia tiga bulan hendak ke sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika itu dia melihat seorang lelaki sedang mengundurkan kenderaan dan dia memberhentikan keretanya bagi memberi laluan kepada lelaki tersebut namun kedua-dua kenderaan itu bergesel di bahagian tepi.

“Lelaki itu kemudiannya turun dari kenderaan dan memarahi saya sambil memaki hamun. Disebabkan masih tidak berpuas hati, dia telah mengambil besi di halaman rumah lalu mengetuk bonet hadapan kereta saya beberapa kali.

“Ketika kekecohan berlaku, anak lelaki saya telah keluar dari kereta sambil menangis dan meminta agar lelaki itu menghentikan perbuatannya namun rayuan itu tidak diendahkan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, dua anak perempuannya yang masing-masing berusia dua tahun dan tiga bulan sedang tidur di kerusi keselamatan bayi.

Katanya, anaknya menangis kerana terkejut selepas mendengar bunyi kuat hentakan di bahagian cermin hadapan dan belakang kereta.

Katanya, anak perempuan berusia dua tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera di kaki selepas terpijak cermin kaca yang pecah.

“Saya cemas dengan tindakan lelaki itu yang mengamuk sehingga turut cuba memukul saya namun sempat dihalang jiran yang menyedari kejadian itu.

“Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan saya trauma malah anak lelaki dan perempuan saya sehingga kini sering mengigau disebabkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Suspek akan dituduh esok di mahkamah atas pertuduhan khianat,” katanya. – UTUSAN ONLINE