MUALLIM, 24 Sept: Kadar vaksinasi di Kampung Orang Asli Gangai di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mencecah 56 peratus membabitkan 103 orang asli.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, peningkatan itu berlaku setelah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bekerjasama dengan petugas kesihatan orang asli.

“Ini memang kerja keras daripada pihak Jabatan Kesihatan termasuk JAKOA sendiri, kejayaan vaksinasi di kampung ini antaranya melibatkan petugas dari Hospital Orang Asli Gombak.

“Apabila datang daripada kumpulan dan petugas serta badan bukan kerajaan (NGO) orang asli, ianya meningkatkan jumlah vaksinasi dengan mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi PKPD Kampung Orang Asli Gangai, di sini pada Jumaat.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman, Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr Ngaesah Hamed dan Pegawai Daerah Muallim, Mohamad Fitri Hassan.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Batang Padang, Anuar Shafie berkata JAKOA mensasarkan 80 peratus jumlah vaksinasi dalam kalangan orang asli di Perak menjelang November.

“Sekarang kita dah dapat 69 peratus yang dah vaksin (dos pertama) dan dos kedua baru 46 peratus dan kita yakin dalam masa dua bulan ini kita mampu mencapai sasaran 80 peratus itu.

“Golongan remaja tiada masalah kerana mereka ada kaitan dengan sekolah,yang menjadi masalah golongan berusia dan sekiranya kita berkeras mereka akan larikan diri ke hutan jadi kita gunakan kedah psikologi,” jelasnya.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Kampung Orang Asli Gangai dikuat kuasakan bermula 23 September dan dijangka berakhir 6 Oktober.

PKPD tersebut melibatkan 295 orang asli suku kaum Semai daripada 70 keluarga dan setakat ini baki 44 peratus masih belum divaksin.

Sehingga 23 September, seramai 19,104 (45 peratus) daripada sembilan daerah perkampungan orang asli di Perak telah lengkap divaksin.