KUALA LUMPUR – Berang gagal rogol anak tiri dipercayai motif seorang lelaki Nigeria bertindak campak cucu tirinya dari tingkat tiga Apartmen Villa Danau, Setapak di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa, Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, 4, ditemui maut dalam keadaan tidak berseluar sebelum disusuli dengan kejadian suspek warga berusia 42 tahun itu bertindak terjun dalam keadaan bogel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil siasatan mendapati suspek sudah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun sejak 10 tahun lalu.

Jelas beliau, selain pasangan suami isteri itu, enam ahli keluarga yang terdiri daripada empat anak tiri, seorang anak lelaki suspek serta mangsa tinggal bersama di rumah tersebut.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek telah cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu sebelum dihalang isteri serta anak-anak yang lain.

“Berang dengan kejadian itu, suspek mengamuk dan memukul kesemua mangsa di dalam rumah tersebut. Isteri dan anak-anak cuba menyelamatkan diri dengan bertindak keluar dari rumah bagi mendapatkan bantuan jiran.

“Ketika itu, suspek melihat mangsa menjerit meminta bantuan sebelum dia bertindak mencampak kanak-kanak itu dari tingkap bilik utama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya lagi, susulan itu, suspek turut lompat dari tingkap yang sama.

“Suspek cedera akibat kejadian itu gagal melarikan diri dan berjaya ditangkap orang awam dan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE