MANJUNG, 26 Mac – Keprihatinan orang awam telah menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down yang berkeliaran seorang diri daripada kejadian tidak diingini di kawasan Taman Samudera, Seri Manjung di sini pagi Khamis.

Kanak-kanak berusia lingkungan 12 tahun itu dikesan berjalan di sekitar kawasan berkenaan tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu sekitar jam 9.20 pagi.

Menurutnya, sejurus terima panggilan tersebut, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah mengarahkan kereta peronda (MPV) ke lokasi tersebut.

“Anggota yang tiba ke lokasi telah menemui kanak-kanak berkenaan dalam keadaan selamat.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui dan polis seterusnya membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Seri Manjung untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, sekitar jam 11 pagi, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 48 tahun yang telah kehilangan anaknya.

Katanya, semakan kemudiannya mengesahkan kanak-kanak yang dijumpai dan berada di Balai Polis Seri Manjung itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang.

“Kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada bapanya setelah semakan dan pengesahan dibuat,” katanya.

Nor Omar berkata, orang ramai terutama ibu bapa disaran sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak agar kejadian sama tidak berulang.

“Lebih-lebih lagi anak-anak yang masih kecil dan mereka yang tergolong sebagai istimewa, ia menuntut keprihatinan yang lebih tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – Sinar Harian