IPOH – Kementerian Pendidikan perlu mempertahankan keputusan untuk menukar kasut sekolah berwarna putih kepada warna hitam tahun depan walaupun menerima pelbagai kritikan.

Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen berkata, secara peribadi beliau mengalu-alukan cadangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai warna kasut tersebut.

Katanya, fungsi kasut sebenarnya untuk perlindungan kaki dari berlakunya sebarang kecederaan dan kenyataan mengaitkan kasut berwarna hitam meresap haba dan tidak bersesuaian dengan cuaca Malaysia tidak tepat sama sekali.

“Banyak sekolah swasta dan di luar negara seperti Indonesia dan Thailand, pelajar memakai kasut hitam sebagai uniform mereka.

“Malah fakta dari Indonesia dan Thailand membuktikan bahawa kaki pelajar negara tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan luka atas sebab pakai kasut hitam,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan yang diumumkan Maszlee ketika menjadi panel Bicara Minda anjuran Sinar Harian, baru-baru ini.

Chung Sen berkata, ramai golongan pelajar yang miskin dari luar bandar kadangkala terpaksa melalui jalan yang kotor, basah dan licin.

Katanya disebabkan itu, ada antara mereka berjalan tanpa memakai kasut bagi mengelak kasut putih mereka kotor.

Menurut beliau, keadaan itu amat menyedihkan kerana sebagai ibu bapa dan pendidik mereka mengabaikan keselamatan dan kesihatan anak-anak demi sepasang kasut putih.

Mengenai dakwaan bahawa pemakaian kasut putih boleh memupuk nilai dan mendisiplinkan pelajar, Chung Sen berkata, pemikiran tersebut tidak betul.

“Ramai pelajar dari keluarga yang berada di mana mereka tidak perlu mencuci kasut sendiri dan mereka juga mempunyai lebih daripada sepasang kasut putih.

“Ibu bapa boleh melatih dan memupuk sikap berdisiplin anak-anak mereka melalui cara lain, iaitu mencuci pinggan mangkuk dan mengemas bilik sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta agar masyarakat tidak membuang masa dengan memberi fokus pada warna kasut sebaliknya memberi tumpuan kepada polisi-polisi pendidikan supaya taraf pendidikan di negara ini dapat ditingkatkan.

Katanya, masa yang dibuang selama ini mencuci, menjemur dan menyapu pemutih kasut selama ini sepatutnya digunakan untuk membaca buku dan belajar.

Chung Sen berkata, keputusan penukaran kasut putih kepada kasut hitam dapat menjimatkan masa supaya pelajar-pelajar dapat memberi tumpuan kepada pelajaran masing-masing serta melindungi alam sekitar selain menjimatkan duit ibu bapa – sinar