LENGGONG, 9 Ogos – orang ramai boleh meminta pengusaha premis makanan dan pekerja mereka mengemukakan pengesahan lengkap dua dos vaksin Covid-19 dalam aplikasi mysejahtera susulan kebenaran ‘dine in’ di premis bagi negeri fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Langkah itu bagi menjawab keraguan pelanggan yang bimbang dengan status pemilik premis dan pekerja sama ada telah menerima suntikan vaksin atau tidak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bagaimanapun percaya ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk pengusaha premis makanan dan pekerja mereka.

“Pelanggan boleh tanya pengusaha kedai, jika mereka ragu-ragu, bukan pengusaha sahaja yang boleh bertanya (status pelanggan).

“Saya percaya ada SOP tertentu yang melibatkan pengusaha kedai dan juga pekerja-pekerja di kedai, kita boleh sama-sama saling membuat pemeriksaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam di Gerik dan Lenggong, hari ini.

Pada ahad, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti menjamu selera di premis makanan dibenarkan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap, dan menetap di negeri-negeri dalam fasa dua dan seterusnya, bermula 10 ogos.

Noor Azmi yang menyifatkan pengumuman itu sebagai suka dan risau berharap orang ramai mengambil serius dan mengamalkan disiplin yang tinggi bagi mengelakkan peningkatan semula seperti yang pernah berlaku di Singapura.

Menurutnya, negara jiran itu pernah membenarkan aktiviti `dine in’ ketika kes positif rendah tetapi terpaksa menarik kebenaran itu ekoran peningkatan semula kes.