IPOH, 27 Julai – Helikopter jenis Bell 505 Global Ranger milik Systematic Aviation Service yang mendarat di Padang Ipoh pada 23 Julai lalu, mempunyai kebenaran merentas negeri bagi melakukan penyelenggaraan, bukannya mengambil tempahan `nasi ganja’.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridaltrash Wahid berkata, pihak polis telah merakam keterangan daripada pengadu, pemilik premis makanan, pemilik syarikat helikopter dan semua individu yang didapati terlibat dalam aduan tersebut.

Menurutnya, pihak polis juga telah merakam kenyataan daripada Ketua Polis Balai yang telah memberikan kebenaran dan kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak memanipulasikan kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pengamal media serta perlu membaca dan memahami keseluruhan isi kandungan berita yang hendak disampaikan.

Katanya, ia perlu bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi yang mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung.

Dalam kejadian 23 Julai lalu, sebuah helikopter Bell 505 dikendalikan syarikat Systematic Aviation Service mendarat di Padang Ipoh kira-kira jam 10 pagi, bagi mengambil pesanan 36 bungkus `nasi ganja’.

Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar yang lebih dikenali sebagai `nasi ganja’.