KUALA LUMPUR, 23 SEPT : Pembukaan semula taman tema hiburan keluarga dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia selari dengan pengumuman kerajaan untuk membenarkan rentas negeri setelah 90 peratus kadar vaksinasi dewasa dicapai.

Justeru beliau berkata, apabila kadar vaksinasi tersebut dicapai, maka lebih banyak kelonggaran akan diberikan.

“Mengenai taman tema, semuanya insya-Allah akan diumumkan.

“Sebenarnya saya telah mengemukakan destinasi-destinasi tertentu untuk dibuka pada 1 Oktober.

“Oleh kerana terlalu banyak permintaan oleh negeri-negeri lain, maka semalam kita memutuskan rentas negeri apabila 90 peratus daripada populasi divaksinasi.

“Melihat kepada data yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), ianya tidak begitu jauh lagi.

“Maka, tidak lagi timbul negeri atau destinasi mana yang dibuka. Cuma, taman tema, insya-Allah dalam masa terdekat akan diumum,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Dr Mazlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang bertanyakan adakah kerajaan akan membenarkan pembukaan Taman Tema Hiburan Keluarga memandang prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan tersebut lebih mudah untuk dilaksanakan, berbanding gelembung pelancongan lain. – AWANI