KUALA LUMPUR, 26 FEB : Pengarah dan penerbit, Micheal Ang ‘panas’ apabila kecoh syarikat produksi miliknya didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan penggambaran drama Angkara Cinta di Perak pada sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Kontroversi tercetus gara-gara foto dirakam kru yang dihantar kepada seorang pelakon tambahan, tersebar dalam media sosial.

Jelas Ang, foto memaparkan lokasi penggambaran iaitu di perkarangan sebuah hotel di Ipoh yang didakwa pengarah itu, ditutup, dikongsi individu berkenaan kepada sebuah syarikat produksi.

“Pada mulanya, individu terbabit bertanya kepada kru yang juga ‘runner’ syarikat produksi saya, apakah penggambaran sudah bermula.

“Runner’ menjawab ‘shooting’ sudah bermula dan menghantar foto sebagai bukti. Siasatan mendapati individu terbabit menyebarkan foto berkenaan kepada syarikat produksi lain.

“Dia mempersoalkan mengapa syarikat produksi saya boleh melakukan penggambaran di luar hotel,” katanya kepada BH Online.

Ang kesal individu itu yang bukan pelakon tambahan drama Angkara Cinta, tidak bertanya situasi sebenar dan menuduh syarikat produksinya melanggar SOP.

“Hakikatnya, syarikat produksi saya membuat penggambaran di pekarangan hotel… Apa yang langgar SOP?” katanya.

Ang berkata, foto sama turut memaparkan kru membuka pelitup muka dan merokok di suatu sudut di hotel berkenaan.

“Kru merokok di zon yang dikhaskan untuk perokok. Sudah merokok, tentunya pelitup muka dibuka.

“Kawasan merokok itu juga hanya boleh digunakan lima perokok pada suatu masa,” katanya sambil menambah ketika kejadian itu, kru sedang berehat sementara mengangkat peralatan ke dalam hotel.

Pengarah dan penerbit, Micheal Ang.
Pengarah dan penerbit, Micheal Ang.

Ang berkata, disebabkan tuduhan konon syarikat produksinya melanggar SOP viral, kakitangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bergegas ke Ipoh bagi menyiasat.

“Kakitangan FINAS datang dari Kuala Lumpur pada hari cuti umum Tahun Baharu Cina untuk menyiasat perkara ini,” katanya yang turut dihubungi beberapa persatuan mewakili kru dan syarikat produksi susulan kontroversi itu bagi mendapatkan penjelasan.

Ketika ini, Ang mendakwa sudah meminta kebenaran Kerajaan Perak bagi melakukan penggambaran di luar atau ‘outdoor’ berikutan negeri itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Biarpun kita boleh melakukan penggambaran ‘outdoor’ di Ipoh, ia perlu dilaksanakan mengikut SOP dengan kru dan pelakon terhad,” katanya.

Sementara itu, Ang turut meluahkan perasan di Instagram (IG) berhubung kontroversi langgar SOP dan mendakwa dirinya menjadi mangsa iri hati.

“Kenapa hendak buat onar, tuduhan dan cerita tidak benar? Kenapa busuk hati dan membuat perkara bodoh yang mungkin boleh menjejaskan kebenaran diberi kepada industri kreatif untuk melakukan penggambaran ‘indoor’.

“Saya takut disebabkan segelintir sikap manusia begini, habis terpalit penggiat seni lain. Tak boleh ‘shooting’ nanti, baru aniaya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengesahkan tiada perlanggaran SOP dilakukan syarikat produksi Ang.

Ahmad Nadzri berkata, selepas siasatan, pihaknya berpuas hati syarikat produksi berkenaan beroperasi mengikut syarat ditetapkan.

“Sebaik mendapat laporan, kakitangan FINAS meninjau lokasi penggambaran untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil siasatan mendapati lokasi ‘outdoor’ dimaksudkan dalam mesej yang tular itu tidak membabitkan orang awam

“Sebaliknya, ia masih dalam lingkungan perimeter dibenarkan untuk membuat penggambaran,” katanya ketika dihubungi.

Atas sambutan menggalakkan, drama Angkara Cinta arahan Ang yang dibintangi Hun Haqeeem, Meerqeen dan Wanna Ali, disambung 45 episod lagi.

Jika melanggar SOP penggambaran, FINAS boleh mengarahkan penggambaran dihentikan serta-merta, membatalkan SPP dan merampas peralatan serta ‘footage’ dirakam untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah. – Berita Harian