PETALING JAYA, 29 Julai : Kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan media apabila didapati beberapa kenderaan rasmi memasuki kawasan itu.

Difahamkan, sebuah kenderaan rasmi dipercayai membawa seorang menteri dilihat memasuki kawasan kediaman Perdana Menteri itu pada pukul 1.15 petang.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan daripada Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE